JABATAN Perhutanan sering menjadi sasaran kecaman jika terdapat sebarang laporan negatif mengenai hutan di negara ini.
Tidak dapat tidak, sebarang laporan mengenai pencerobohan atau pembalakan haram oleh orang luar atau rakyat tempatan menjadi tamparan perit ke atas imej jabatan berkenaan di sebalik usaha gigihnya untuk terus menguruskan hutan negara ini secara berkekalan dan lestari.
Pada masa sama, mungkin ada pihak yang menuding jari ke arah Dasar Perhutanan Negara (DPN) dan menyoal apa impak dasar ini sejak ia diluluskan Majlis Tanah Negara (MTN) pada 1978?
Walau apapun isu hutan yang menjadi polemik atau retorik, yang pasti, khazanah hutan negara ini perlu tadbir urus yang berterusan. Inilah yang menjadi tanggungjawab Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) yang berusia lebih 100 tahun.
Boleh dikatakan Malaysia adalah bumi bertuah kerana masih mempunyai kawasan hutan yang luas. Kawasan hutan lazimnya dikaitkan dengan penghasilan kayu balak yang mempunyai permintaan pasaran tinggi selain hasil hutan lain.
Pada 2005 saja, jumlah pendapatan eksport hasil kayu Malaysia meningkat 8.6 peratus kepada RM21.5 bilion berbanding RM19.8 bilion pada 2004.
Bagi Semenanjung Malaysia saja, eksport hasil kayu dan eksport hasil berasaskan kayu untuk 2005 berjumlah RM10.5 bilion, meningkat 9.4 peratus berbanding RM9.58 bilion pada 2004.
“Bagaimanapun, kepentingan hutan bukan untuk pengeluaran kayu-kayan semata-mata, malah untuk pemeliharaan tanah, sumber air, hidupan liar dan alam sekitar.
“Sebab itu kita wujudkan kawasan Hutan Simpanan Kekal dan ia diurus di bawah sistem pengurusan hutan berkekalan dan diberi perlindungan sepenuhnya,” demikian menurut Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Perancangan & Pembangunan) JPSM, Datuk Dahlan Taha ketika diwawancara, baru-baru ini.
Keluasan kawasan hutan asli di Malaysia pada akhir 2005 dianggarkan berjumlah 19.52 juta hektar atau 59.5 peratus daripada jumlah keluasan tanah di Malaysia.
Daripada keluasan kawasan berhutan berkenaan, seluas 14.39 juta hektar diwartakan sebagai kawasan Hutan Simpanan Kekal dan diurus mengikut sistem pengurusan berkekalan.
Di samping itu, 2.15 juta hektar di luar Hutan Simpanan Kekal dijadikan Taman Negara dan Suaka Hidupan Liar.
Ini menjadikan jumlah hutan yang diberi perlindungan penuh menurut polisi dan perundangan ialah seluas 16.54 juta hektar.
Selain itu, baki daripada jumlah kawasan hutan asli iaitu seluas 2.94 juta hektar diasingkan sebagai Hutan Tanah Kerajaan yang akan dibangunkan untuk tujuan pertanian, industri dan kegunaan lain.
Berita pencerobohan kawasan hutan dan pembalakan haram yang berleluasa sering mendapat liputan yang meluas.
Selain kayu balak, kegiatan mencuri yang membabitkan penyangak dari negara jiran untuk kayu gaharu turut menjadi berita sensasi, sehingga ada yang berjaya menerobos hingga ke hutan simpan di selatan tanah air.
Bagaimanapun, Dahlan berkata, kebanyakan laporan yang dipaparkan di skrin televisyen bukan membabitkan hutan simpan, sebaliknya tanah kerajaan dan tanah milik persendirian.
“Apa yang sering berlaku, berita yang negatif itu sudah disiarkan terlebih dahulu. Bagaimanapun, nak kata tak berlaku di Hutan Simpanan Kekal, tak betul juga, tetapi keadaannya terkawal.
“Satu daripada sebabnya mengapa pencerobohan Hutan Simpanan Kekal berlaku ialah orang kita tidak boleh berada di satu-satu tempat pada setiap masa. Pihak jabatan sedang mengkaji untuk menambahkan anggota, terutama di bidang penguatkuasaan,” katanya.
Menurut beliau, paparan yang negatif di televisyen juga seolah-olah menunjukkan JPSM memusnahkan hutan dan tidak melaksanakan tanggungjawabnya.
“Kita bukan tutup mata, lepas tangan atau berpeluk tubuh. Sebenarnya, kita ada pelbagai peraturan. Kalau pembalakan di ladang balak jabatan ini, kita mempunyai sistem serta kaedah tersendiri untuk mengawal cara dan kekerapan penebangannya. Kami sekali-kali tidak membenarkan pembalakan dibuat sewenang-wenangnya,” kata Dahlan.
Beliau turut memberitahu, kes pencerobohan hutan dan pembalakan haram juga berkurangan dengan drastiknya selepas jumlah denda dinaikkan dari RM10,000 kepada RM500,000 dan penjara mandatori tidak kurang daripada satu tahun, tetapi tidak melebihi 20 tahun dikuatkuasakan sejak 1993.
Kes pembalakan haram dalam Hutan Simpanan Kekal menurun daripada 149 kes dalam tahun 1993 kepada 12 kes dalam tahun 2005.
“Semua tuduhan dibuat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993), tetapi prosedur pertuduhan dibuat menggunakan kod prosedur jenayah. Ada yang pernah dipenjarakan.
“Dalam tempoh 2000 hingga 2005, 30 orang dipenjarakan, membabitkan pembalakan haram dan penerokaan hutan tanpa izin,” katanya.
Menurut Dahlan, pihaknya buat masa ini tidak bercadang untuk menambah undang-undang sedia ada, tetapi akan meningkatkan usaha terus menggempur dan membawa ke muka pengadilan pihak yang masih berani menceroboh kawasan Hutan Simpanan Kekal.
Di samping itu, katanya, JPSM juga menggunakan sistem maklumat berkomputer untuk mengumpul serta menganalisis data dan maklumat sumber hutan sesuai dengan perkembangan pesat teknologi hari ini.
Langkah itu, katanya, dapat meningkatkan lagi tahap perancangan, pembangunan dan pengurusan hutan.
Antara teknologi yang digunakan termasuk ‘Geographic Information System’ (GIS), ‘Automatic Mapping System’ (AMS) dan teknik ‘Remote Sensing’ yang menjadikan kerja pengamatan sumber hutan menjadi lebih berkesan.
Menyentuh fokus JPSM khususnya mengikut tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), Dahlan memberitahu, pihaknya akan terus memberi perhatian kepada pengurusan hutan berkekalan.
“Jika dibandingkan dengan 10 atau 20 tahun lalu, pendekatan yang kita gunakan sekarang sememangnya berbeza. Kita bukan hanya bertumpu kepada penebangan kayu balak untuk keperluan ekonomi dan sosial, tetapi memberi penekanan yang sama beratnya untuk keseimbangan ekologi dan kestabilan alam sekitar.
“Tumpuan kepada pemuliharaan dan perlindungan kepelbagaian hayat (biodiversiti) adalah satu proses yang berterusan dan bukti komitmen jabatan ini untuk menguruskan hutan secara holistik dan seimbang,” katanya.
Beliau berkata, menurut RMK9 (2006-2010), catuan tebangan tahunan seluruh Malaysia ditetapkan iaitu 266,940 hektar iaitu 36,940 hektar di Semenanjung Malaysia, 60,000 hektar di Sabah dan 170,000 hektar di Sarawak.
Pada masa sama, katanya, pihaknya juga akan melaksanakan kawalan yang lebih rapi terhadap aktiviti pembalakan yang dibuat khususnya di dalam Hutan Simpanan Kekal.
Langkah itu, katanya, perlu bagi memastikan kontraktor pengubahasilan mematuhi semua peraturan seperti yang terkandung di dalam permit dan lesen pembalakan.
“Perlu diketahui sebahagian daripada hutan di Semenanjung Malaysia dilindungi daripada pengubahasilan oleh undang-undang, dasar dan panduan operasi. Sebagai contoh, hutan yang terletak di dalam kawasan sensitif seperti kawasan curam dan berhampiran sungai.
“Hutan lain seperti Hutan Perlindungan, Hutan Simpanan Dara dan Kawasan Pemeliharaan adalah dilindungi undang-undang. Ini adalah sebahagian daripada komitmen negara,” katanya. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment